Thursday, 3 May 2012

Cermin Mata Hitam Pelengkap Imej

Ray Ban Malaysia | Sunglasses Shop
Kaca mata hitam melindungi mata daripada sinaran cahaya matahari dan menyerlahkan cita rasa anda dalam bergaya. Victoria Beckham dan Paris Hilton, antara selebriti berani menggayakan kaca mata hitam besar dan akhirnya menjadi pilihan muda mudi hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, pastikan anda tidak menjadi mangsa fesyen gara-gara terlalu ghairah mengikut aliran gaya terkini. Perkara penting harus diingat ketika memilih cermin mata ialah tidak semua bingkai kaca mata sesuai untuk anda.

Pemilihan tepat dari segi bentuk dan warna penting bagi menyerlahkan personaliti, sekali gus menjadikan gaya anda tidak ditertawakan.

Cermin mata hitam bukan sekadar lindungi mata, tapi aksesori wajib trend fesyen masa kini. Cermin mata hitam selain berfungsi sebagai pelindung mata daripada panahan terik matahari, ia juga menjadi simbol fesyen yang wajib dimiliki. Menurut Pakar Perunding Fesyen, Faizal Hamid, cermin mata hitam adalah alternatif kepada mereka yang mahukan barangan seperti beg tangan dan pakaian daripada jenama mewah tapi tidak mampu dimiliki disebabkan harga yang tinggi melampau.

"Sememangnya kasut, alat solek atau wangian berjenama masih lagi dalam lingkungan produk yang boleh dimiliki kebanyakan kita tetapi ia tidak mempunyai impak segera (instant impact) seperti yang boleh dilihat apabila anda memakai cermin mata hitam berjenama antarabangsa. 

"Cermin mata hitam bukan hanya boleh memberi nafas baru kepada pakaian yang kita ada malahan ia adalah satu cara yang paling ekonomi untuk kita mengikut peredaran gaya ataupun tren terkini," katanya. Katanya, pencinta fesyen menggunakan cermin mata bukan saja sebagai membuktikan mereka mendapat kelebihan daripada penggunaan barangan berkenaan tapi juga untuk menunjukkan impak daripada pemakaian cermin mata hitam itu. 

"Kini lebih banyak lagi jenama cermin mata hitam yang tidak begitu mahal ada di pasaran dibandingkan dengan kategori aksesori yang lain. Sememangnya cermin mata hitam punyai pelbagai pilihan rekaan dalam bentuk, saiz, hiasan dan perincian berbeza sesuai cita rasa semua individu," katanya. Pembeli tidak lagi membeli cermin mata hitam semata-mata untuk melindungi mata dari pancaran UV kerana tarikan cermin mata hitam bersaiz besar menjadi kegilaan mencerminkan keperluan untuk penjagaan mata dalam gaya baru yang lebih hangat. 

"Gaya paling terbaru dan popular adalah yang diinspirasikan daripada gaya cermin mata hitam ilham retro 50an. Bingkai plastik kembali dengan gaya kontemporari ilham mata kucing (Cats 5000) yang mengingatkan kita pada ikon filem barat seperti Marilyn Monroe," katanya. 

Faizal mengingatkan pencinta fesyen supaya mendapatkan cermin mata hitam berjenama semasa ia masih dalam lingkungan harga yang berpatutan sebelum ia tersenarai di dalam kategori barangan mewah yang tidak mampu dimiliki suatu masa nanti. 

"Jika anda tidak percaya lihat saja cermin mata hitam edisi terhad Bottega Veneta yang bingkainya diperbuat daripada tanduk semula jadi. Ia bahan yang paling eksklusif dan unik malah ada juga jenama terkenal yang menghiasi koleksi cermin mata hitam jenama mereka penuh dengan butiran berlian. "Rekaan yang hebat ini bukan dijual dengan harga ratusan ringgit tapi sebaliknya ribuan malahan hingga mencecah puluhan ribu ringgit," katanya. 

Ramai tidak menyedari cermin mata yang dijual di pasaran boleh dibezakan kegunaannya berdasarkan warna lensa, bentuk bingkai dan jenis cermin. Menurut Pengurus Pemasaran City Chain Sdn Bhd, Chang Suling, seseorang yang berhasrat membeli cermin mata hitam perlu memastikan keperluannya sama ada untuk gaya, aktiviti luar atau dalam bangunan.

"Lensa berwarna gelap seperti hijau gelap, coklat dan kelabu antara pilihan paling popular sesuai aktiviti siang misalnya ketika pemanduan manakala lensa warna cerah khusus untuk waktu malam. "Bagaimanapun, lensa dua tona kini menjadi pilihan ramai penggemar cermin mata hitam kerana ia boleh digunakan untuk aktiviti di sebelah malam atau siang hari," katanya. Selain itu, turut diperkenalkan di pasaran adalah sejenis cermin mata hitam yang menggunakan cermin polarized. Kelebihan cermin berkenaan adalah ia mampu melaras kemasukan cahaya dan silau membuatkan pemandangan menjadi jelas. 

"Cermin mata polarized sesuai dikenakan semasa memandu di waktu malam, ketika hujan atau apabila pandangan kabur disebabkan jalan berdebu. "Ada juga jenis cermin mata hitam yang direka khusus untuk kecantikan. 'Mirror coating' adalah lensa yang memantul cahaya dan kebaikannya, pemilik boleh menyembunyikan mata daripada pandangan yang tidak diingini," katanya. Namun, apa juga kegunaan dan keperluan cermin mata hitam berkenaan, Chang menasihatkan pembeli supaya membeli cermin mata yang mempunyai pelindung UV bagi melindungi mata daripada sinaran cahaya matahari secara terus.

INFO:  

Cermin mata hitam berbentuk aviator adalah belian yang terbaik kerana rekaannya tidak lapuk dek zaman. 

Ketika memilih cermin mata, pastikan bingkai di bahagian pipi tidak menyentuh kulit untuk mengurangkan tekanan di bahagian hidung. 

Individu bertudung dinasihatkan memilih tangkai cermin mata yang lurus bagi memudahkan pemakaian. 

Rakyat Malaysia dielakkan membeli cermin mata hitam di negara Eropah kerana rekaan bingkai khusus untuk fizikal wajah mereka dibuat melengkung manakala wajah Asia sesuai bingkai potongan lurus.

Sumber: Berita Harian Online


No comments:

Post a Comment